Oleh Masmawi Abdullah
-Berita Harian-
WANITA zaman pasca moden ini, pakaian dan cara berpakaian sebahagian
wanita sekarang gagal mencapai matlamat menutup aurat seperti dituntut
Islam. Pakaian mereka hanya berjaya menutup kulit badan, tetapi masih
tetap mempamerkan kecantikan dan keistimewaan bentuk serta susuk hingga
boleh dikatakan, sama ada mereka berpakaian atau tidak, sama saja.
Tetapi itulah hakikatnya, mereka terbabit dengan amalan tabarruj iaitu
perbuatan mendedahkan kecantikan rupa paras, sama ada kecantikan itu di
bahagian muka atau anggota badan lain. Menurut al-Bakhari, tabarruj ialah
wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya.
Ketara sekali mereka yang berkenaan khususnya wanita yang mengakui
Muslimat, tetapi sukar dikategorikan sebagai Mukminat, terlalu ingin
memperagakan kecantikan diri atau keistimewaan sifat fizikal kewanitaan
mereka.
Mereka berpakaian untuk menambahkan kecantikan, bukan untuk menutup aurat.
Di samping itu, mereka bersolek dan menggayakan gerak serta lagak yang
menarik ketika berada di luar rumah, sedangkan tidak demikian apabila
berada di rumah.
Untuk mendapat perhatian orang ramai itulah mereka menghiasi diri dengan
pakaian fesyen baru yang mengikut aliran semasa, indah serta mahal,
diserikan dengan barang kemas mewah bergemerlapan, manakala wajah disolek
bahan mekap berwarna-warni.
Pakaian mereka tidak berfungsi sebagai penutup aurat lagi, bukan untuk
melindungi kecantikan daripada pandangan lelaki bukan mahram, sebaliknya
mendedahkan habis-habisan. Sedangkan amalan itu ditegah.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kalian (wanita Islam) tetap
di rumah kalian berhias (bersolek) dan mendedahkannya (bertabarruj)
seperti mereka lakukan oleh orang-orang jahiliah dulu." (Surah al Ahzab,
ayat 33)
Selain terbabit amalan tabarruj, tradisi berpakaian dan bersolek kalangan
wanita moden sekarang membuktikan umat manusia akhir zaman terutama
wanitanya, sudah jauh berundur ke belakang untuk kembali ke zaman kuno dan
mewarisi cara hidup kolot manusia primitif zaman batu, atau
setidak-tidaknya mengamalkan cara hidup zaman jahiliah.
Hal ini jelas sekali kerana bukankah amalan menghiasi muka dengan tempelan
bahan mekap pelbagai warna yang dilakukan wanita moden sekarang sama
dengan amalan menconteng muka yang dilakukan manusia primitif zaman kuno
dulu?
Bukankah amalan mendedahkan aurat depan khalayak ramai yang dilakukan
wanita moden ini adalah amalan wanita zaman jahiliah. Tidakkah ini satu
kesinambungan antara tradisi zaman jahiliah dan tradisi zaman pasca moden
ini?
Memang berlaku perubahan positif dalam hal berpakaian untuk menutup aurat
di kalangan wanita Islam di negara kita dalam dekad mutakhir ini. Tetapi
malangnya, perubahan itu tidak menyeluruh kerana masih ramai yang tetap
dengan tradisi berpakaian mereka.
Jika ada yang memenuhi kewajipan menutup aurat, tidak memenuhi tuntutan
mengikut kehendak hukum syarak. Contohnya, memang sudah ramai wanita
memakai tudung tetapi pada masa sama, memakai baju dan kain atau seluar
ketat yang jelas memperlihatkan bahagian tertentu badan mereka.
Berpakaian seperti itu sudah tentu tidak diterima sebagai menutup aurat,
kerana menutup aurat dalam Islam bukan sekadar menutup kulit badan, tetapi
melindungi rupa bentuk kulit semua bahagian anggota badan.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang
beriman, hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan
mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali apa biasa
nampak iaitu wajah dan kedua-dua tapak tangan) dan hendaklah mereka
menutup dada mereka dengan kain tudung mereka dan janganlah menampakkan
perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka."
Maksud ayat itu sangat jelas, namun seolah-olah belum dapat difahami
wanita. Buktinya mereka tidak mematuhi arahan menutup aurat itu
sepenuhnya. Malah, ramai yang langsung tidak menghiraukannya.
Mereka sebenarnya mempersendakan hukum Allah apabila menutup kepala dan
rambut sepenuhnya tetapi masih memperlihatkan bentuk anggota badan dalam
pakaian yang ketat sendat atau mendedahkan bahagian anggota lain seperti
kedua belah betis apabila memakai seluar, skirt atau sarung sempit yang
berbelah di bawah.
Masih ramai lagi wanita yang enggan memakai tudung kepala, atau hanya
menutup kepala dengan kelubung kecil, menampakkan bahagian depan dan ekor
rambut. Ia juga adalah perbuatan yang boleh dianggap sebagai
mempersendakan hukum Allah.
Demikian juga dengan amalan memakai tudung kepala pelbagai bentuk dan
fesyen. Walaupun mereka berjaya menutup kepala dan rambut, namun masih
mendedahkan tengkuk, leher serta sebahagian dada atau memperlihatkan
bentuk dada dalam baju yang ketat.
Semua fenomena mendedahkan aurat itu adalah ciri amalan tabarruj, amalan
kaum zaman jahiliah. Selain tradisi berpakaian, tradisi bersolek yang
termasuk dalam amalan tabarruj kurang diberi perhatian. Seolah-olah
larangan dalam hal ini tidak diketahui.
Keadaan wanita yang tidak terbabit dengan tabarruj ialah wanita yang tidak
keluar rumah, tidak bercampur-gaul dengan lelaki bukan muhrim dan apabila
keluar, tetap memakai pakaian menutup aurat sepenuhnya dan wajah mereka
tanpa bersolek.
Golongan terbabit dengan tabarruj ialah wanita yang keluar rumah dengan
berpakaian tidak sopan atau berpakaian ala Barat, mendedahkan banyak
bahagian aurat atau berpakaian sopan tetapi tidak menutup aurat sepenuhnya
atau berpakaian moden, ketat, singkat dan berbelah.
Allah mengetahui akibat baik dan buruk daripada segala tindak-tanduk
hamba-Nya, termasuk akibat buruk daripada pendedahan aurat atau perlakuan
tabarruj itu. Sehubungan itu, Allah mewajibkan wanita menutup aurat
mereka.
Firman Allah bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isterimu dan anak
perempuanmu serta wanita yang beriman, supaya melabuhkan jilbab mereka
bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa mereka keluar). Cara yang
demikian lebih mudah untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik),
maka dengan itu mereka tidak diganggu. (Ingatlah) Allah adalah Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab, ayat 59)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar