Senin, 03 Desember 2007

Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani penulis prolifik

Bicara Agama
-Utusan Malaysia -

Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani penulis prolifik


ALLAHYARHAM Wan Mohd. Shagir Abdullah (kanan) berdoa di pusara yang
dipercayai milik Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani.
--------------------------------------------------------------------------------

Koleksi Tulisan Allahyarham: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tidak sebanyak karya sahabatnya,
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Ini kerana Sheikh Daud bin Abdullah
al-Fathani memperoleh ilmu pengetahuan dalam usia muda dan umurnya juga
panjang. Sedangkan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, mahupun Sheikh
Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari umumnya jauh lebih tua daripada
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bahkan boleh dijadikan ayahnya.

Walau bagaimanapun, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad
Arsyad al-Banjari termasuk dalam klasifikasi pengarang yang produktif.
Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari terkenal dengan fiqhnya yang berjudul
Sabilul Muhtadin.

Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani adalah yang paling menonjol di bidang
tasauf dengan dua buah karyanya yang paling terkenal dan masih beredar di
pasaran kitab sampai sekarang ini ialah Hidayatus Salikin dan Siyarus
Salikin.

Seluruh karangannya yang telah diketahui umum seperti di dalam carta.

Penjelasan-penjelasan lengkap mengenai karya-karya beliau boleh dirujuk
dalam buku berjudul, Sheikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi dan Jihad
Dunia Melayu, pada halaman 96 hingga 148.

Wafat

Sebagaimana telah terjadi kekeliruan beberapa tulisan mengenai tahun
kelahiran Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, demikian halnya juga dengan
tahun kewafatannya. Perbahasan mengenai kewafatannya adalah dihuraikan
seperti yang berikut di bawah ini.

Dr M. Chatib Quzwain menulis dalam kertas kerja dan bukunya berjudul
Mengenal Allah Suatu Studi Mengenal Ajaran Tasauf Sheikh Abdus Shamad
al-Palimbani, halaman 180-181: Bahawa dalam tahun 1244 H/1828 M dikatakan
umur Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani 124 tahun. Baik pendapat Dr. M
Chatib Quzwain mahupun pendapat Dr. Azyumardi Azra perlu disanggah
berdasarkan fakta sejarah.

Sebelum mengemukakan hujah, selengkapnya penulis salin di bawah ini. Azra
menulis, "Meskipun saya tidak dapat menentukan secara pasti angka-angka
tahun di seputar kehidupannya, semua sumber bersatu kata bahwa rentang
masa hidup Al-Palimbani adalah dari dasawarsa pertama hingga akhir abad
kedelapan belas.

Al-Baythar menyatakan, Al-Palimbani meninggal setelah 1200/1785. Tetapi
kemungkinan besar dia meninggal setelah 1203/1789, iaitu tahun ketika dia
menyelesaikan karyanya yang terakhir dan paling masyhur, Sayr Al-Salikin.
Ketika dia menyelesaikan karya ini, mestinya umurnya adalah 85 tahun.

"Dalam Tarikh Salasilah Negeri Kedah diriwayatkan, dia terbunuh dalam
perang melawan Thai pada 1244/1828. Tetapi saya sukar menerima penjelasan
ini, sebab tidak ada bukti dari sumber-sumber lain yang menunjukkan
Al-Palimbani pernah kembali ke Nusantara. Lebih jauh lagi, waktu itu
mestinya umurnya telah 124 tahun terlalu tua untuk pergi ke medan perang.

"Walaupun Al-Baythar tidak menyebutkan tempat di mana Al-Palimbani
meninggal, ada kesan kuat dia meninggal di Arabia".

Tanggapan dari penulis bahawa sumber dari Al-Baythar yang menyebut tahun
kewafatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani 1200 H/1785 M, seperti yang
disebut oleh Dr. Azyumardi Azra itu adalah ditolak.

Dengan disebutkannya bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani wafat tahun
1200 H/1785 M adalah sebagai bukti bahawa Al-Baythar tidak banyak tahu
tentang Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Bahkan tulisannya sendiri
bertentangan antara satu sama lainnya.

Cuba diperhatikan kalimat Dr. Azyumardi Azra dalam buku yang sama halaman
250, "Al-Baythar meriwayatkan, pada 1201/1787 Al-Palimbani mengadakan
perjalanan ke Zabid di mana dia mengajar murid-murid terutama dari
keluarga Ahdal dan Al-Mizjadi".

Bagaimanakah ini boleh terjadi, pada tempat lain Al-Baythar mengatakan
Al-Palimbani wafat setelah 1200 H/1785 M. Di tempat yang lain disebutnya
Al-Palimbani ke Zabid tahun 1201 H/1787 M. Oleh itu persoalan-persoalan
lain yang bersumber dari Al-Baythar mengenai Sheikh Abdus Shamad
al-Falimbani yang menyalahi sumber-sumber yang telah dianggap benar oleh
tradisi/mutawatir dunia Melayu adalah ditolak juga.

Sumber wafat 1200/1785 M penulis tegaskan adalah tidak tepat kerana
menyalahi dengan tulisan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri.
Kitab-kitab yang dikarang/diselesaikan oleh Sheikh Abdus Shamad
al-Falimbani sesudah tahun 1200 H/1785 M itu ialah Risalah Isra' wa
Mi'raj, yang dicatat oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri selesai
menulisnya pada tahun 1201 H, kira-kira bersamaan 1786/87 M. Umumnya, juga
diketahui ialah Siyarus Salikin jilid ke-IV, diselesaikan pada malam Ahad,
20 Ramadhan 1203 H di Taif, kira-kira bersamaan tahun 1789 M.

Pendapat Dr. Azyumardi Azra pada kalimatnya, "Ketika dia menyelesaikan
karya ini, mestinya umurnya adalah 85 tahun", adalah tertolak kerana tahun
kelahiran Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang dikemukakan oleh kedua-dua
sarjana tersebut adalah ternyata salah seperti yang telah disebutkan
sebelum ini.

Malahan ramai yang menduga bahawa kewafatan Sheikh Abdus Shamad
al-Falimbani tahun 1203 H/1789 M. Penulis memang tidak berani hanya dengan
menduga apabila tidak cukup bukti. Walau bagaimanapun penulis tetap
menolak tahun wafat Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam tahun 1203
H/1789 M yang hanya berdasarkan tahun beliau selesai mengarang Siyarus
Salikin itu.

Malah penulis tetap yakin bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani memang
terlibat langsung dalam peperangan di antara Kedah-Patani melawan Siam
yang terjadi jauh sesudah tahun 1203 H/1789 M itu. Ini berdasarkan cerita
yang mutawatir, dikuatkan sebuah manuskrip salinan Haji Mahmud bin
Muhammad Yusuf Terengganu murid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, telah
diketemukan kubur beliau dan lain-lain yang perlu dikaji dengan lebih
teliti.

Dr. M. Chatib Quzwain menyebut bahawa kubur Sheikh Abdus Samad
al-Falimbani di Palembang, Dr. Azyumardi Azra pula menyebut, "ada kesan
kuat dia meninggal di Arabia", kedua-dua pendapat tersebut bertentangan
dengan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Juga bertentangan dengan cerita
popular masyarakat Islam di Kedah, di Patani, Banjar, Mempawah/Pontianak
dan tempat-tempat lain yang ada hubungan pertalian penurunan keilmuan
tradisional Islam dunia Melayu.

Selain itu, bertentangan pula dengan manuskrip Al-Urwatul Wutsqa karya
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang disalin oleh Haji Mahmud bin
Muhammad Yusuf Terengganu, salah seorang murid Sheikh Abdus Shamad
al-Falimbani. Bertentangan pula dengan pembuktian bahawa diketemukan kubur
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani di perantaraan Kampung Sekom dengan Cenak
termasuk dalam kawasan Tiba, iaitu di di Utara Patani.

Penulis tidak pasti sumber manakah yang digunakan oleh Dr. Azyumardi Azra
yang menyebut, "ada kesan kuat dia meninggal di Arabia" itu. Sedangkan
tulisan penulis dalam majalah Dian tersebut sekali-kali tidak merujuk
kepada Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, tetapi ternyata jalan ceritanya
adalah sama. Pada waktu itu penulis tidak mengetahui bahawa riwayat
tersebut termaktub dalam buku tersebut. Buku tersebut diterbitkan tahun
1968, sedangkan cerita mengenai Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani penulis
dengar sejak tahun 1958 lagi.

Kemudian setelah tulisan awal (Dian, 1977) dan tulisan yang kedua
(Al-Fathaanah, 1983), kedua-duanya belum begitu banyak dijumpai hujah.
Maka tulisan yang seterusnya daripada itu termasuklah tulisan artikel ini,
menurut pertimbangan penulis cukup padat dengan pembuktian-pembuktian.
Percaya atau tidak terserah kepada penilaian para pembaca yang dapat
menggunakan akalnya.

Dalam penyelidikan, apabila pembuktian telah cukup, maka tidak ada alasan
untuk kita mempertahankan sesuatu kekeliruan itu. Mahu tidak mahu kita
mesti mengikut kebenaran pembuktian. Jika di belakang hari ternyata
tulisan penulis keliru, insya-Allah penulis akan mengikut siapa saja yang
dapat membetulkannya dengan syarat berdasarkan pembuktian-pembuktian yang
cukup kuat pula.

Keturunan

Mengenai keturunan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, maklumat terawal
hanya dijumpai dalam karya-karya Sheikh Yasin Padang, bahawa beliau
menulis anak Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani bernama Fathimah.

Memperhatikan bahawa ramai ulama Asia Tenggara menerima sanad daripada
Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, bererti beliau ini adalah
seorang ulama, walau pun beliau seorang perempuan. Di antara ulama-ulama
tanah Jawi sebagai murid Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al- Falimbani
ialah Sheikh Azhari bin Abdullah al-Falimbani, Sheikh Nawawi al-Bantani
dan ramai lagi.

Walau bagaimanapun sehingga artikel ini ditulis, belum diketahui keturunan
Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani itu, kemungkinan
keturunannya berada di Mekah.

Antara kitab karangan Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani

1. Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, 1178 H/1764 M.

2. Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi Nikah, 1179 H/1765 M.

3. Hidayatus Salikin fi Suluki Maslakil

Muttaqin, 1192 H/1778 M.

4. Siyarus Salikin ila 'Ibadati Rabbil 'Alamin, 1194 H/1780 M-1203 H/1788 M.

5. Al-'Urwatul Wutsqa wa Silsiltu Waliyil Atqa.

6. Ratib Sheikh 'Abdus Shamad al-Falimbani.

7. Nashihatul Muslimina wa Tazkiratul Mu'minina fi Fadhailil Jihadi wa
Karaamatil Mujtahidina fi Sabilillah.

8. Ar-Risalatu fi Kaifiyatir Ratib Lailatil Jum'ah

9. Mulhiqun fi Bayani Fawaidin Nafi'ah fi Jihadi fi Sabilillah

10. Zatul Muttaqin fi Tauhidi Rabbil 'Alamin

11. 'Ilmut Tasawuf

12. Mulkhishut Tuhbatil Mafdhah minar Rahmatil Mahdah 'Alaihis Shalatu was
Salam

13. Kitab Mi'raj, 1201 H/1786 M.

14. Anisul Muttaqin, manuskrip dalam simpanan penulis.

15. Puisi Kemenangan Kedah.

Tidak ada komentar: